Disclaimer

*Disclaimer:
Here, I share my views based on my observations, experiences, judgement, perceptions and knowledge. Do not quote/use/refer/relate them to my family, community, employer, employee, business nor my country for whatever reason without my written consent.

Saturday 26 November 2011

Selamat tinggal 1432H, Selamat datang 1433H

Hari ini hari terakhir tahun Hijrah 1432 dan sejurus sahaja masuk waktu Maghrib, maka kita melangkah ke tahun baru 1433 Hijrah.


Jangan pula kita lupa untuk membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun.
Kalau tak ingat, boleh tujui dalam blog sahabat kita antaranya
http://syedas.wordpress.com/2007/01/19/doa-awal-tahun-akhir-tahun-hijriah/
Di sini ada sedikit maklumat (dpt dpd e-mel pejabat):


MUHARAM

MUHARAM adalah bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah). Sebelum Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Yathrib, kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi. Hijrah Rasulullah memberi kesan besar kepada Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri.

Pada asasnya, Muharam membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91). Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan.

Hikmah membaca doa akhir tahun Hijrah adalah kita memperingati amalan-amalan pada tahun lalu, sama ada yang amalan yang membawa kebaikan mahupun amalan yang membawa kepada dosa dan lalu meminta ampun atas kesalahan-kesalahan serta meminta perlindungan Allah swt. daripada kejahatan syaitan dan manusia.
Manakala hikmah membaca doa awal tahun Hijrah pula adalah kita memperbaharui azam untuk melakukan kebaikan dan meminta kekuatan dan hidayah untuk melaksanakannya.


Doa akhir tahun:
Dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah. 
Sesiapa yang membaca doa ini, syaitan berkata:  
"Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun." 

Berikut adalah Doa Akhir Tahun:

Maksudnya “Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya.
Ya allah, sesungguhnya pada tahun ini aku telah melakukan laranganMu tetapi aku masih belum bertaubat sedangkan Engkau tidak reda dan melupai perkara itu. Engkau telah menangguhkan azabMu yang telah ditetapkan kepadaku. Engkau telah memerintah supaya aku bertaubat dari kesalahan itu. Sesungguhnya pada hari ini aku memohon keampunan dariMu, ampunilah aku dan apa yang telah aku lakukan pada tahun ini yang Engkau redai dan Engkau janjikan pahala maka aku memohonnya daripada Engkau. Ya Allah, Ya Karim, Ya Zaljalali Wal Ikram.
Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya. Segala puji hanya bagi Allah, tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam” 


Doa awal tahun:
Dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam satu Muharram. 
Sesiapa yang membaca doa ini, syaitan berkata:
 "Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah Syaitan."

Berikut adalah Doa Awal Tahun:

Maksudnya “Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya.
Ya Allah, Engkaulah yang kekal abadi untuk selama-lamanya. Demi kelebihanMu yang Maha Agong dan kemurahanMu yang melimpah, sesungguhnya pada tahun ini aku memohon kepadaMu perlindungan daripada syaitan yang direjam, dari sekalan kuncunya, tenteranya dan penolongnya. aku juga memohon perlindungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan dan melalaikan dengan perkara yang tidak berfaedah daripada mendekatkan diriku kepadaMu.
Selawat serta salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabat. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam”.


Moga kita mendapat keberkatan, berjaya dunia akhirat & dimurahkan rezeki, diberi kesihatan dan kebahagiaan. Aminnn ...